BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �
Tiada Istimewa Melainkan Kelemahan Diri dan Segala Kebaikan Yang Wujud Dari Kepunyaan ILAHI. Hanya Kepada DIA Segala Penggantungan & Penyerahan Hidup dan Matiku.

15 September 2010

"~;Keaiban Silam Rahsiakan atau Hebahkan??:~"

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Setiap insan pasti punyai kenangan dan kisah lalu mereka. Apalagi kehitaman dimasa silam yang sering menganggu jiwa menjadi dalam keadaan ketakutan dan kebingungan bagi indivbidu untuk meneruskan kehidupan akan datang. Belajar dari kesilapan, perbaiki daripada kelemahan.

Hari ini kita mampu mengecapi kehidupan yang lebih teratur dan bermakna atas ketentuan taqdir (Qada' & Qadar).. dan perlunya yang lepas dijadikan ikhtibar juga tauladan menongkah arus berliku kelak. Daripaada kesalahan...bermuhasabah dan iktiqad melalui hati untuk menjadi yang lebih baik

Namun... sejauhmana kisah lampau terhijab tanpa disingkap dan diperluaskan setelah taubat dan keinsafan menjernihkan hati dan membaluti diri. Apakah untuk dihebahkan, diceritakan, dirahsia atau dipendam?



Mari sahabat sekelian, kita ambil intipati daripada penyampaian ini. Semoga beroleh manfaat dan bimbingan buat diri dan seluruh umat Islam yang dikasihi Allah.


Dizaman Umar pernah berlaku seorang wanita telah berzina, kemudian dia telah pun dihukum dengan 100 kali sebat, kemudian dia telah bertaubat, lalu datang seorang yang ingin meminangnya. Ditanyakan kepada Umar apakah dia perlu beritahu yang di pernah berzina? Umar jawab, rahsiakan...

Rasulullah SAW bersabda:
"Semua umat ku selamat kecuali orang yang terang-terangan melakukan dosa. Dan termasuk terang-terangan itu adalah seorang yang melakukan dosa di waktu malam gelap mendadak pagi-pagi diceritakan kepada orang lain. Padahal semalam Allah telah menutupi dosanya itu tetapi setelah paginya dia membuka apa yang Allah tutup itu." (HR Bukhari dan Muslim) "Tiada seorang yang menutupi aurat( keaiban) orang di dunia, melainkan Allah akan menutupi keaibannya di hari kiamat."
(HR Muslim)

Firman Allah;

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui."
(Surah An-Nuur: Ayat 19)



Rakan-rakan seagamaku...

Allah amat murka kepada mereka yang menyebarkan keaiban di dalam masyarakat. Sehingga disebabkan mereka maka masyarakat menganggap kejahatan itu merupakan suatu yang biasa dan masyarakat merasa tidak aman daripada buah mulut orang lain.

Oleh sebab itu, Allah SWT mengharamkan mengumpat sebagaimana yang difirmankan di dalam ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Suka kah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."
 (Surah Al-Hujuraat: Ayat 12)

Keaiban kadangkala dianggap suatu yang baik untuk dikongsi di atas banyak sebab, antaranya untuk melepaskan tekanan perasaan, untuk menimbulkan rasa insaf, sebagai pelajaran bagi orang lain, untuk menjadikan diri dipandang mulia, memberi alasan dan sebagainya. Atas apa alasan pun, membocorkan keaiban merupakan suatu yang dilarang oleh Allah dan Rasul.

Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkan dia teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya maka Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat."
(HR Bukhari)



"Siapa yang merosakkan nama baik atau harta benda orang lain, maka minta maaflah kepadanya sekarang ini, sebelum datang hari di mana mata wang tidak laku lagi. Kalau ia mempunyai amal baik, sebahagian dari amal itu akan diambil sesuai dengan kadar aniaya yang dilakukannya. Seandainya ia tidak mempunyai amal baik maka dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya."
(HR Bukhari)


"Tiada seorang yang menutupi aurat( keaiban) orang di dunia, melainkan Allah akan menutupi keaibannya di hari kiamat."
(HR Muslim)


Bahkan, keaiban yang dilarang untuk diceritakan itu bukan cuma keaiban orang lain. Keaiban diri sendiri juga harus dan perlu ditutup oleh setiap orang.

Rasulullah SAW bersabda:
"Semua umat ku selamat kecuali orang yang terang-terangan melakukan dosa. Dan termasuk terang-terangan itu adalah seorang yang melakukan dosa di waktu malam gelap mendadak pagi-pagi diceritakan kepada orang lain. Padahal semalam Allah telah menutupi dosanya itu tetapi setelah paginya dia membuka apa yang Allah tutup itu."
(HR Bukhari dan Muslim)


Keburukan dan kelemahan seseorang yang disebar-sebarkan akan menimbulkan perpecahan dan sangka buruk di dalam masyarakat. Perasaan ukhuwwah akan hilang dan digantikan dengan perasaan benci-membenci dan saling menaruh perasaan dendam. Biasanya seseorang yang membuka keaiban diri kepada orang lain akan menggoda orang yang mendengar untuk membuka keaiban dirinya pula untuk memberi nasihat atau sekadar balasan perkongsian tadi. Kalau tidak pun orang yang mendengar akan mula berburuk sangka atau termotivasi untuk melakukan perbuatan yang sama.

Seandainya keaiban tadi adalah keaiban orang lain pula, maka itu sudah masuk ke dalam kategori mengumpat dan seperti yang Allah fimankan tadi, perbuatan itu diumpamakan seperti memakan daging saudara kita yang telah mati. Jelas perbuatan ini merupakan punca perpecahan dan perbalahan sesama muslim. Bahkan, seperti juga membuka aib sendiri, membuka keaiban orang lain juga memotivasi orang yang mendengar untuk berkongsi keaiban orang lain yang dia ketahui juga. Maka tersebar luaslah keburukan dan keaiban di dalam masyarakat sehingga terbuka luaslah pintu-pintu kehancuran, fitnah dan perpecahan di dalam masyarakat. Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun yang terlepas dari melakukan kesalahan.

Rasulullah SAW bersabda,
"Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat."
( HR Ahmad)

Maka, selagi mana perbuatannya itu tidak dilakukan secara terang terangan maka perlakuan itu haruslah dirahsiakan dan dia tidak dihukum disebabkan dosanya itu.

Dari Umar bin Khattab ra, katanya
"Manusia pada zaman Rasulullah SAW berhukum dgn dasar wahyu, dan sekarang wahyu telah tidak turun lagi, sekarang kamu kami hukum dengan menurut apa yang nyata bagi kami tentang kerja mu. Barang siapa yang nyata bagi kami baik, kami amankan dan kami benarkan. Kami tiada mengetahui sesuatu yang dirahsiakan, hanya tuhan yang menghitung yang dirahsiakannya itu. Siapa yang nyata bagi kami jahat, tidak kami amankan dan tidak kami benarkan, walaupun dia mengatakan bahawa yang dirahsiakan hatinya baik.
(HR Bukhari)

Bahkan barangsiapa yang melakukan kesalahan yang sepatutnya dijatuhi hukuman hudud sekalipun ke atasnya, lalu Allah menutupi keaibannya itu, maka dia seharusnya menyembunyikan keaibannya itu lalu bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang melakukan kesalahan hudud lalu disegerakan hukumannya di atas dunia, maka adalah Allah terlalu adil untuk mengenakan padanya hukuman kali kedua di akhirat. Barang siapa yang melakukan kesalahan hudud lalu kesalahannya ditutup oleh Allah SWT, sehingga dia terlepas darinya, maka Allah adalah teramat pemurah untuk menghukum orang yang telah dilepaskan dari hukuman oleh-Nya."
(HR Ahmad, dia berkata hasan gharib. Al-Hakim, dia berkata sahih menurut persyaratan Bukhari dan Muslim)

Prof. Dr. Yusuf al-Qardhowi menulis di dalam bukunya Taubat bahawa seseorang yang melakukan dosa-dosa seperti zina, minum arak, dan sebagainya yang tidak melibatkan kezaliman terhadap orang lain, maka dia harus menyembunyikan kesalahannya itu. Tidak perlu diakui di hadapan pemerintah dan mintak untuk dihukum kerana Allah telah menutupi kesalahannya. Akan tetapi seandainya dia tetap ingin mengakui kesalahannya di hadapan pemerintah maka itu juga tidak mengapa. Termasuklah di sini, seseorang yang menyaksikan perbuatan zina atau seumpamanya, sedangkan tidak cukup saksi. Maka seharusnya dia tidak melaporkan kejadian tersebut dan tetap merahsiakannya. Seandainya dia tetap melaporkan kejadian tersebut, maka dialah yang akan menerima hukuman 80 sebatan. Prinsip ini jelas berbeza daripada teori kaunseling barat yang meminta orang yang di kaunseling untuk membuka seluas-luasnya seluruh cerita mengenai dirinya. Kita disuruh untuk memendam seluruh keaiban diri. Persoalan timbul, bagaimanakah caranya untuk mencari jalan keluar dari sesuatu permasalahan seandainya masalah tidak dapat dikongsi. Jawapannya, mungkin soalan tadi dapat kita umumkan dan tidak kita kaitkan dengan mana-mana peribadi. Begitu juga dengan cara menegur, boleh menggunakan kaedah yang umum supaya keaiban pihak yang ditujukan teguran itu ditutup. Mungkin ada yang masih berhujah, bagaimana kalau teguran secara umum tadi tidak berkesan? Perlu diingat, ada orang yang melakukan maksiat kerana dia tidak tahu, ada yang melakukannya kerana terlupa atau terlalai dan ada juga yang melakukannya disebabkan tidak tahan. Orang yang melakukan dosa disebabkan dia tidak mampu menahan godaan tadi, sedangkan dia tahu perbuatan itu merupakan dosa, dan dia cuba sedaya-upaya untuk menyembunyikan keaibannya itu, maka dosanya adalah dengan Allah SWT dan hak dia adalah keaibannya itu dilindungi seandainya secara tidak sengaja terbongkar.

Rasulullah SAW bersabda:
"Demi Allah ia tidak beriman, Demi Allah ia tidak beriman, Demi Allah ia tidak beriman." Orang bertanya, "Siapakah orang itu wahai Rasulullah?" Rasul menjawab, "Orang yang tidak aman jiran tetangganya kerana kejahatannya."
(HR Bukhari)

Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan yang menyebabkan tetangga kita merasa tidak aman dari kejahatan kita. Bayangkan suasana tempat tinggal yang kita berasa tidak aman dari tersebarnya keaiban diri kita. Tentu tidak selesa bukan? Betapa indahnya sistem kemasyarakatan yang telah Allah SWT buat untuk kita. Dilarang menzalimi, dilarang mendedahkan keaiban diri sendiri dan orang lain, dilarang mencari-cari kesalahan, dilarang mengumpat, dianjurkan saling memberi hadiah, dianjurkan menyebarkan salam, disuruh mendoakan orang yang bersin, disuruh memberi salam dan pelbagai lagi sarana yang Allah SWT tunjukkan pada kita dalam rangka mewujudkan masyarakat saling sayang-menyayangi dan kasih-mengasihi.

Rasulullah SAW bersabda:
"Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu seratus bahagian. Sembilan puluh sembilan dari padanya disimpan di sisi-Nya. Satu bahagian sahaja yang diturunkannya ke duna. Dengan kasih sayang itulah para makhluk saling berkasih sayang, sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terinjak."
(HR Bukhari)

"Siapa yang tidak mencintai tidak akan dicintai."
(HR Bukhari)

"Anda lihat orang-orang yang beriman itu dalam kasih mengasihi, saling cinta-mencintai dan saling tolong-menolong, seperti sebatang tubuh. Kalau ada satu anggota badan yang sakit, maka seluruh tubuh akan ikut menderita tidak dapat tidur dan kepanasan."
(HR Bukhari)

Benarlah firman-Nya:

 قُلْ أَتُعَلِّمُونَ اللَّهَ بِدِينِكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيم

"Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Anfaal: Ayat 63)



Seandainya kita membelanjakan seluruh kekayaan yang ada di langit dan di bumi sekalipun, tak akan pernah terjadinya penyatuan hati antara dua orang sekalipun. Akan tetapi dengan berpandukan sistem yang DIA turunkan dan ajaran yang dibawa Rasulullah, maka lahirlah suatu kaum yang tak pernah di kenal dan tak pernah terbayang oleh manusia lantaran terlalu dalamnya kecintaan di antara sesama mereka. Mereka ibarat satu tubuh, tidak pernah terlintas untuk menyakiti tubuh yang lain. Tidak pernah terlintas untuk membiarkan tubuh yang lain. Tidak pernah menghina dan mencaci tubuh yang lain. Tidak pernah hilang kerjasama di antara mereka. Tidak pernah diam suatu anggota melihat anggota lain terzalimi. Begitulah kuat dan kukuhnya perhubungan di antara mereka.



"Iman seseorang hamba tidak akan sempurna sebelum ia meninggalkan kebohongan dalam bergurau dan meninggalkan riya', sekalipun benar."
~(H.R.Ahmad)~

02 September 2010

^(;Ramadhan Menyinari Alam & Rohani;)*

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


MUHASABAH RAMADHAN


Hari raya hari kemenangan
Hari kesyukuran dilimpahi kemuliaan
Di lipatan seni mehnah dilalui
Ada maksud murni yang lebih hakiki

Pada nafsu yang dilentur lapar dahaga
Pada fikiran disinar wahyu dan sabda
Pada hati bersih di solat terawih
Apakah semuanya telah dimiliki

Puasa mengajar erti ketabahan
Menghadap ujian berlandaskan iman
Puasa perisai yang sangat maknawi
Penyinkap hijab antara hamba dengan Illahi

Puasa sempurna menahan rohani dan rasa
Puasa sederhana menahan indera dan juga anggota
Puasa biasa hanya melawan lapar dan dahaga
Lalu di manakah puasa kita
Adakah masih di tahap lama

Lalu muhasabah di hujung Ramadhan
Sudahkah terbangun jiwa teguh dan kukuh
Atau kolam jiwa masih tercemar keruh
Bersembilu dosa duri angkara

Ketika bertahmid, bertakbir, bertasbih
Terasakah kita hamba Illahi
Yang hanya mampu mengukir tadbir
Sedangkan padaNya segala takdir
Nasyid oleh: Kumpulan UNIC





"Dan apabila menderita kesusahan dia bersabar, ini merupakan kebaikan baginya."
~(H.R.Muslim)~

*^Buat Saudaraku Yang Dikasihi^*

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


 Jadilah dirimu orang yang konsisten membaca Al-Quraan dikala manusia lain setia membaca majalah juga akhbar harian,

Jadilah dirimu orang yang sentiasa berzikir dan mengingatiNya dikala insan lain leka dengan hiburan dunia,

Jadilah dirimu orang yang mendambakan cintaNya dengan harapan dikala yang lain sibuk mengejar cinta manusia dan kehidupan,


Dan...

Jadilah kamu orang yang terbaik, mulia akhlaknya disaat pihak lain alpa dengan nikmat dan anugerahNya.




"Sesiapa yang memaafkan daripada membunuh balas ia tidak akan mendapatkan pahala melainkan syurga."
~(H.R.Al-Khatib)~

!Cantiknya Peribadi Insan Atas Hikmah Ujian!

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

SubhanaAllah...cantik  keindahan yang Allah jadikan
Begitulah cantiknya rupa yang diciptakan Allah atas setiap kehidupan dimuka bumi ini. Inilah hikmahnya.. setiap yang ada, berpasang-pasangan, saling lengkap-melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain.

Rakan seperjuangan yang dikasihi Alllah sekelian, justeru apa pula kaitannya dengan peribadi insan atas ujian? ya, ada kaitannya..dan disinilah kita mampu melihat setiap yang dijadikan mempunyai hikmah dan makna yang unik. Pada manusia biasa, mungkin ianya satu lumrah yang biasa..tetapi bagi insan yang memperhalusi dan berusaha dalam kalangan insan yang mengenal RABBnya, mereka akan sentiasa mencari dan terus menelusuri setiap cubaan dengan tabah dan bersyukur.

Mari kita ambil masa, untuk koreksi diri. Sesungguhnya dalam diri setiap individu ada kelebihan yang mampu dikongsikan dan dari setiap kelemahan pula ada peluang dan prestasi jika di usahakan dan dibantu bersama.

Mengapa dikatakan cantik peribadi insan atas setiap kepahitan yang berlaku rakan? sukar untuk diterjemahkan..namun, dengan ujian sedemikian rupalah...kita mula bangun dan menyedari agar tidak dibuai mimpi dan angan-angan yang belum pasti terjadi. Lihatlah, jika seorang yang terlalu mendambakan hidup mewah, setiap angan-angan dan impian dipenuhi dengan mudah dan sekelip mata.. pasti dan tentu...kita menjadi khalifah yang lupa lantas kufur atas nikmat yang diberi. Lalu dimanakah kecantikan sebenar seorang insan.. adakah dengan pengharapan pada Ilahi atau memenuhi tuntutan naluri dan hati.

Yakinilah setiap yang datang, baik sengasara dan kedukaan yang ditanggung...jika disusuli dengan rasa sabar, itulah tingkat peribadi insan tersebut.. sabar, suatu yang rumit, hanya diberikan kepada mereka yang inginkan sifat ini serta mendidik diri agar bersederhana dalam setiap tindakan dan tatatertib kehidupan.

...Cantiknya peribadi insan atas ujian, jika diri dihiasi sifat redha dan tawakal...


"Hendaklah kalian tetap berkata benar sekalipun menghadapi bahaya. Sebab di dalam kata-kata yang benar terdapat keselamatan."
~(H.R.Ibnu Abi Ad-Dunya)~

26 Ogos 2010

;:Kesedihan Yang Menjanjikan Kegembiraan;:

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Salam Mahabbah, semoga sentiasa dibawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah buat kita semua.

"Ya Rahman, sesungguh berat ujian yang Engkau berikan buat hambaMU.." itulah ungkapan biasa dari seorang hamba yang faqir disisiNya RABB. "Mengapa diri ini dilanda musibah..", namun pernahkah kita perhalusi akan setiap kejadian dan ciptaan yang dianugerahkanNya. Biar pahit, pedih dan kecewa..semua ini pasti ada kebaikan dan hikmahnya.



Hidup ini penuh dengan cabaran yang perlu dilalui. Bergelar insan, sudah pasti ada tahap yang bakal dilalui itu memerlukan suatu yang dapat memenuhi kehendak diri dan jiwa. Persoalannya? sejauhmana kita meetakkan permintaan dan hajat..tidak semua mampu tertunai melainkan izin dan iradah dariNya Yang Lebih Besar.

Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.. begitulah sifat-sifatNya yang perlu kita sematkan dalam sanubari bahawa DIA Mendengar, Maha Melihat dan Mengetahui setiap isi hati antara kita. Apa yang dikejar..belum tentu kita dapat, dan suatu yang berada pada kita kini..belum pasti akan kekal bersemadi sepanjang hari yang ditempuhi menuju destinasi abadi. Hanya amalan dan kebaikan yang dilakukan menjadi pelindung dan bekalan menemani perjalanan seorang hamba menghadap Rabbul Alamin.

Bilamana hambaNya bersedih, ingatlah..bahawa Pencipta Yang Menjadikan dirimu mulia dan setia bersama kita.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 186

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (١٨٦)

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."


Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Dekat Allah kepada hambaNya.. Firman Allah dalam Surah Qaf: Ayat 16

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ (١٦)

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya”

Maka..Bergembiralah wahai hati yang kesedihan kerana dikala kamu ditimpakan kedukaan dan ujian yang berat.. sesungguhnya DIA Maha Tahu yang termampu ditanggung oleh hambaNya.. Bersyukurlah diatas setiap yang diturunkannya. Gembiralah wahai insan yang kesedihan.. bilamana diri diberi cubaan dan kekecewaan.. Allah mengangkat martabat hambaNya yang sabar, Allah sayang akan hambaNya yang redha dan Allah mengampun dosa-dosa yang dilakukan oleh insan yang kerdil ini.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (٥٣)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
(Surah Az-Zumar: Ayat 53)




"Orang yang beriman, dengan budi pekerti yang baik akan dapat mencapai martabat setaraf dengan orang yang tekun bersembahyang di malam hari dan berpuasa di siang hari."
~(H.R.Abu Daud)~

23 Ogos 2010

^Sukarnya Mendambakan Keindahan^

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sukarnya mendambakan kehidupan yang indah dalam membahagiakan kehendak yang ingin diperolehi.  Setiap yang diingini tidak semestinya diperolehi, dan tidak pula yang didapati seperti apa yang diimpi.

Begitulah getirnya dan kecekalan jiwa yang perlu digarap dalam pelayaran kehidupan yang harus dilalui oleh seseorang melalui ranjau liku-liku yang berterusan tanpa mengenal penat lelah mahupun beralah. Untuk menjadi terbaik dan bermakna buat agama, bangsa dan negara... seorang pemimpin (keluarga, diri) sewajarnya tabah menghadapi semua ini.
 
Persoalannya..., bagaimana harus bagi diri terus gagah menelusuri onak-onak yang datang menjelma. Perjalanan masih jauh, pencarian kepada kebaikan perlu diteruskan. Selagi jasad dan roh berdetik bersama nadi.. banyak yang perlu dipersiap..antara ilmu dan amal. Adakah kita sudah bersedia dan rela menjalankannya selaku wakil yang bergelar insan dan khalifah Allah dimuka bumi ini?


Setiap rintihan dan pengaduan seorang hamba pastilah dikembalikan kepada Pencipta Yang Maha Menjadikan. Dimanakah DIA jika tidak dihati dan segenap ruang hidup kita. Hampir setiap apa sahaja yang dilakukan perlu mendapat izin dan bantuan dariNya Yang Lebih Mengetahui & Maha Berkuasa diatas sesuatu.

Iya! kehidupan ini sangat dramatis jika dikaji dan diperhalusi. Tetapi..bagi mereka yang menggunakan sebaiknya kebaikan yang diberi, sudah tentu mereka boleh menggapai tujuan utama berada dibumi yang fana' ini.

SUBHANALLAH...Maha Suci lagi Maha Pengampun, dikala diri mengharap cinta & kasihMU.. Engkau mencurahkan pelbagai rahmat dan kasih sayangMU terhadap hamba-hamba yang lemah. Mana lagi boleh kita persembahkan hati, jiwa dan seluruh penggantungan kita kalau tidak hanya kepada DIA Yang Satu dan ALLAH Yang Maha Penerima Taubat.

Rakan-rakan yang dikasihi Allah sekelian... hidup ini sementara sahaja. Hari ini kita menanam perancangan meninggi dengan segala kemewahan dan manfaat kita, tidak salah.... teruskan memanfaatkannya.. pada masa sama wahai sahabatku, ingatilah..bahawa setiap yang di memorikan dalam diari perjalanan kita tidak semua yang menjadi dan tidak sekali kekal dalam catitan kehidupan manusia.

Oleh itu, sentiasalah kita merendahkan hati kita..mohon dan berharap sepenuh hatimu sahabat-sahabat untuk mendekatiNYA dengan yakin dan tawakkal. Sebaik-baik hamba adalah mereka yang bersyukur, redha dan sabar dalam menghadapi apa jua rintangan dalam menuju destinasi yang mereka terokai.

Genggamlah sekuatnya IMAN & Taqwamu wahai pejuang-pejuang agama Allah, agar tidak sekali dirimu kalah dalam segala mehnah yang datang menjengah kehidupanmu. Biarlah sukar dan pedih yang kamu dapat, kukuhkan azam dan tekadmu dalam menengakkan islam & syiarnya diseluruh pelosok dunia, asalkan kamu menggapai menggapai mardhatillah dari Yang Tiada Awal dan Akhir melainkan RABB.



Semoga kita semua menjadi perisai terbilang dalam merebut cinta dan nikmat kemanisan daripadaNYA Rabbul Izzati.




"Bukanlah yang dinamakan kaya kerana banyak hartanya, tetapi yang dinamakan kaya sebenarnya adalah kaya jiwa."
~(H.R.Bukhari & Muslim)~